Saturday, November 3, 2007

PHD????


Negara boleh runtuh akibat fitnah


AL-QURAN ada menyebut, angkara fitnah adalah lebih besar bahayanya daripada pembunuhan. Hadis pula ada menyatakan, fitnah itu 40 kali lebih buruk daripada berzina.

Amalan memfitnah adalah amalan keji dan berdosa besar. Malah, dengan fitnah juga boleh mengakibatkan sesuatu masyarakat itu rosak, sementelah jika amalan fitnah itu berleluasa di sesebuah organisasi lambat laun boleh menghancurkan suasana bekerja itu sendiri.

Fitnah adalah satu amalan negatif. Ia sangat mudah untuk disalahgunakan dan ia tidak memilih mangsa. Tidak peduli orang besar. Tidak peduli orang kecil. Lazimnya, seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur jadi mangsa fitnah kerana kebenaran yang dijunjung dan ditegakkan olehnya boleh menjejaskan kelompok yang mungkar, tamak dan haloba. Seseorang individu yang lurus, ikhlas dan jujur juga jadi mangsa fitnah akibat hasad dengki, dendam, cemburu, iri hati juga khianat.

Inilah bahana fitnah. Akibat fitnah, seseorang individu yang tulus, ikhlas, dan jujur boleh ditukarkan menjadi seorang manusia yang berimej kotor, buruk dan tercemar. Seseorang yang sangat berjasa dan masih terus berjuang untuk menjunjung dan menegakkan kebenaran boleh dituduh dengan pelbagai celaan, hinaan dan kata nista yang panjang berjela.

Fitnah wujud di mana-mana, tidak kira bangsa juga agama. Bagi bangsa Melayu/Islam banyak kisah menceritakan keruntuhan individu, kepemimpinan juga negara kerana fitnah. Dalam Hikayat Hang Tuah ada kisah fitnah. Dalam Tuhfat Al-Nafis karya Raja Ali Haji juga ada kisah fitnah. Ketika era kegemilangan empayar Melayu Melaka, Laksamana Hang Tuah pernah difitnah. Hang Jebat mengamuk dan bertindak derhaka pun kerana hendak membela Hang Tuah yang disingkirkan oleh Sultan akibat fitnah.

Akibat fitnah ke atas Hang Tuah buat kali kedua, bumi Melaka bermandi darah. Dua sahabat yang rapat ibarat adik-beradik seibu sebapa terpaksa berbunuhan.

Begitulah hakikatnya fitnah. Fitnah adalah senjata tajam yang boleh menghakis maruah, merendahkan martabat dan membinasakan kehidupan sejagat.

Ciri Mangsa Fitnah
  • Dikurniakan bakat yang lebih menonjol
  • Personaliti menarik
  • Produktif dalam kerjayanya
  • Menjalinkan hubungan baik dengan semua orang termasuk pihak pengurusan atasan
  • Popular di kalangan kakitangan
  • Mempunyai paras rupa yang kacak/jelita
  • Gaya yang memikat dan tersendiri
  • Personaliti serba-boleh
Cara Hindari Fitnah
  • Berfikiran positif. Jangan mengalah dan pencilkan diri tanpa berusaha mencari jalan penyelesaian
  • Tidak ambil peduli tohmahan orang jika ia tidak mengaibkan mahupun menjejaskan maruah
  • Kuatkan semangat
  • Utamakan kerjaya tanpa memikirkan hal remeh
  • Kukuhkan hubungan dengan semua orang
  • Cuba bersikap biasa dan melayan baik pembawa fitnah
  • Luahkan perasaan jika berasa tertekan bagi menghindari fitnah berlarutan
  • Berhenti kerja. Cari tempat kerja yang baru. Mengalah bukan bererti kalah kerana dengan berhenti kerja, hubungan baik dengan majikan dan rakan lain akan terus berjalan dengan baik.

Dipetik drpd sumber: Berita Harian, I-KON oleh Fairuz Zaidan

p/s: setakat dengki je xpe lagi...ni ada yg siap mandrem2...bomohkan org smpai menderita si mangsa 2...byk la cerita bdasarkan pgalaman aku sendiri dgn org yg tkena buatan org ni...kbykan tkene pd org yg bpangkat tinggi/golongan cerdik pandai n disukai oleh ramai org. Buat baik pon org xsuka, buat jahat apatah lagi...apa punya spesis laa....xbleh tgk org senang cket...


0 comments :