Saturday, December 15, 2007

MUZIK SEIRING DENGAN JIWA?

Muzik? Aku pasti semua kebanyakan orang tahu definisi muzik itu sendiri walaupun tidak begitu mendalam pengertiannya dalam diri mereka. Marcapada dunia di ambang pascamodenisme ini, gelombang muzik sering bermain-main dalam sanubari kita semua. Ada yang mengatakan muzik itu adalah sebahagian daripada jiwa mereka. Bahkan, mereka yang tertentu terlalu mengagung-agungkan genre muzik kegemaran mereka itu khususnya para bunga harapan bangsa kita, iaitu golongan belia. Alunan melodi dan irama seiring dengan mereka yang sememangnya dahagakan suatu pengisian jiwa yang ada pro dan kontranya. Pengisian jiwa yang berbentuk kepuasan sementara yakni sudah menjadi ‘trend’ masa kini. Genre-genre muzik kian berkembang seiring dengan arus kemodenan dan menyediakan alternatif kepada penggemarnya. Antara genre muzik yang mendapat tempat di kalangan masyarakat masa kini ialah R&B, Hip Hop, Ska, Rock, Punk, Pop, Alternatif, Jazz, Grunge, Metal Core, Heavy Metal dan sebagainya. Boleh dikatakan banyak juga genre muzik ini ibarat makanan yang kian rancak dipelbagaikan.
Aku tidak terkecuali apabila membicarakan tentang muzik. Secara jujurnya, aku memang penggemar muzik dan muzik memang sudah sebati dalam diriku sejak kecil lagi. Tidak didorong oleh sesiapa, hal ini kerana muzik adalah minat aku selain membaca, mengarang, aku gemar mendengar lagu tidak kisahlah genre apa pun. Janji sedap didengar dan liriknya memberi makna. Apa-apapun ia terpulang kepada individu tersebut untuk menilainya dan paling penting bagaimana kita mencernakan apa yang dihadam itu. Baik buruknya kita sendiri yang tentukan. Pemilihan lagu yang memuatkan lirik yang bermutu adalah sangat penting.

Aku tidak menafikan bahawa sesetengah lagu mungkin memberikan impak yang negatif pada pendengarnya. Hal ini mungkin disebabkan liriknya yang tidak bersesuaian ataupun muzik yang diminati itu agak keras sehingga terbawa-bawa dalam pengaplikasian peribadi yang agak kasar. Apabila menyentuh tentang lirik yang tidak bersesuaian, aku teringat semasa aku membaca akhbar Berita Harian bahagian komen sms dihantar oleh pembaca iaitu seorang bapa yang tidak berpuas hati apabila anaknya menggelarkannya ‘papa jahat’. Secara tersiratnya lelaki itu mungkin mengatakan lagu tersebut tidak baik untuk budak-budak. Hakikatnya, lirik lagu itu secara keseluruhan memberi makna cuma mungkin tajuknya menjadi ikutan pula. Pada pendapat aku, penghasilan lirik lagu perlu ditapis supaya polemik sebegini dapat dielakkan.

Apabila membicarakan tentang lirik yang baik dan bermutu, aku teringat lagu Too Phat berduet dengan Yasin iaitu Alhamdulillah. “merenungi luar jendela, mengagumi kebesaran yang maha esa, kumelihat kehidupan dari sudut berbeza…”, lagu ini menyelitkan unsur-unsur yang positif mengajak pendengarnya bersyukur dengan kurnian Tuhan. Contoh lain yang memberikan nilai adalah lagu Rock nyanyian kumpulan Nickelback yang berbunyi,

“And as we lie beneath the starsWe realize how small we areIf they could love like you and meImagine what the world could beIf everyone cared and nobody criedIf everyone loved and nobody liedIf everyone shared and swallowed their pride
We'd see the day when nobody died"

Sebenarnya lagu ini mengupas isu peperangan, keganasan yang memberikan impak negatif kepada manusia iaitu kesengsaraan. Selain itu, ia juga menekankan pentingnya
sifat kasih sayang supaya gejala sebegini dapat diatasi.

Di samping itu, muzik juga dapat mengubah penampilan dan personaliti seseorang individu itu. Mana tidaknya, penggemar muzik sebagai contohnya emo, punk yang sememangnya ‘crush’ dengan muzik ini sanggup berhabis duit membeli aksesori dan pakaian yang menunjukkan mereka adalah peminat sejati genre muzik tersebut. Begitu besarnya pengaruh muzik dalam kehidupan khususnya terhadap remaja.
Memandangkan pengaruh muzik kian mendapat tempat di hati para penggemarnya, maka wujudlah program-program yang berkaitan dengan muzik yang muncul ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan’. Selain program realiti tv yang mencungkil bakat menyanyi dan menghibur, ada juga rancangan yang memaparkan muzik, kehidupan dan persahabatan. Kiranya macam ‘3 dalam 1’ lah, pokok pangkalnya menekankan muzik sebagai tema utama. Contoh cerita KAMI yang pernah ditayangkan di saluran 8 sebelum ini. Pada pendapat aku, ada pro dan kontra cerita ini, terpulanglah pada individu untuk menilai sejauh mana keberkesanan jalan ceritanya. Mungkin nilai persahabatan yang cuba ditonjolkan dalam cerita ini menunjukkan nilai yang positif, tetapi budaya ‘gig’ yang diterapkan sedikit sebanyak bakal memberikan impak yang negatif kepada remaja masa kini yang gemar bersosial di kelab-kelab, menari terkinja-kinja mengikut irama lagu dan ada yang berpakaian seksi. Tambahan lagi, ia memaparkan kehidupan remaja yang masih lagi bersekolah tetapi sudah mula berjinak-jinak dengan budaya sebegini memberikan contoh yang tidak baik sama sekali.

Aku pasti semua orang mempunyai persepsi masing-masing tentang muzik, peranan dan pengaruhnya. Siapalah aku untuk menilainya? Cuma unsur-unsur genre muzik itu perlu ditapis sebaik mungkin supaya ia tidak melawan arus kehidupan kita. Bagi aku, muzik adalah satu cabang seni yang sangat unik dan memberikan kepuasan kepada penggemarnya. Ternyata kesannya memang sangat mendalam dan menggamit rasa. Titik tolaknya, kita sendiri yang mencorakkannya. Cukup sampai di sini sahajalah aku berbicara tentang isu ini. Sebenarnya, ada lagi isu yang tidak dikupas sepenuhnya tetapi jika berkesempatan kita sambung untuk ‘Muzik seiring dengan jiwa 2’ pula…(“,)

1 comments :

  1. Cikgu Izzat said...

    artikel yg bagus.
    pandangan yang agak meluas tetapi tidak nampak objektifnya.
    cuba variasikan artikel dengan pembacaan bahan-bahan ilmiah yang lain.
    sinergikan isi-isi penting daripada bahan bacaan dengan pemikiran fina.
    keluarkan satu-satu pandangan tentang muzik secara matang dan rasional.
    artikel yang baik perlu disertakan dengan pembacaan yang konsisten dan meluas.
    setiap artikel yang ditulis juga mestilah mengandungi perkaitan yang jelas dan tersusun.
    tulis juga cara-cara yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diketengahkan dalam artikel.
    akhir sekali, penulisan haruslah dibasuhi dengan niat yg betul, tujuan menulis untuk mencampakkan kesedaran dan menimbulkan sifat berfikir secara krikital terhadap sesuatu isu yang dibincangkan.
    fina byk berkembang.
    teruskan usaha ini.
    moga ada keberkatan dan rahmat dari-Nya.

    salam perjuangan.