Tuesday, January 1, 2008

Cerpen aku 3: Kalau Itu Sudah Suratan...

“Huh!”Pak Kadir mengeluh. Dia duduk bersahaja di atas lantai sambil menhisap rokok udang garamnya itu. Mak Jijah hanya memerhati. Hatinya rancak berkata-kata. Apalah dia rungutkan dalam hati tu? Mesti ada yang tak kena.! Dia menghampiri suaminya itu dengan membawakan secawan air kopi susu panas kegemaran suaminya.

“Bang, air,”pelawa Mak Jijah sambil menepuk perlahan belakang suaminya.

“Letak je kat situ,”suara Pak Kadir sedikit tegas. Mak Jijah hanya menurut. Apa kenalah orang tua ni? Pelik!

“Kenapa dengan abang ni, hah? Balik-balik dari kerja muka macam ada masalah. Sejak akhir-akhir ni abang dah lain,”tanya Mak Jijah. Suaranya agak mendatar. Mata Pak Kadir bertentang dengan mata Mak Jijah. Kaku!

“Mak, Aiman pergi dulu ya. Ayu nak ikut sekali boleh tak?”tanya Aiman sopan. Dia mengendong adiknya Ayu yang terencat itu dengan penuh kasih sayang.

Pada setiap petang selepas pulang dari sekolah, Aiman pasti membawa adiknya itu bermain di taman permainan berhampiran dengan sekolahnya. Walaupun jarak rumahnya dengan taman permainan agak jauh, namun bagi Aiman dia sudah biasa dengan keadaan itu. Baginya, adiknya Ayu perlu didedahkan dengan dunia luar supaya dia tidak berasa tertekan jika asyik berada di rumah.

“Em, pergilah. Jaga adik kamu baik-baik,”pesan Mak Jijah acuh tak acuh. Pandangannya tertumpu semula kepada Pak Kadir. Aiman mencapai tangan ayah dan ibunya. Tangan itu selalu dikucup setiap kali keluar dari rumah. Aiman terus melangkah.

“Apalah nasib kita, Jijah!”Pak Kadir mengeluh lagi. Dahinya berkerut seribu. Mak Jijah terdiam. Dia pasrah!

Ada anak tapi seorang pun tak boleh diharap! Hakimi…harap saja pandai, tapi tak membantu langsung. Ayu cacat…sorang lagi tu lembab pula!”Pak Kadir melepaskan keluhan yang berat. Raut wajahnya sedikit kecewa! Ya, kecewa yang teramat!

Aiman tersentak. Ayah marahkan aku ke? Menyesalkah dia mempunyai anak yang bodoh macam aku? Bisik hati kecilnya. Dikesat perlahan matanya yang mula menitiskan manik-manik kaca. Ayu hanya memerhatikan abangnya yang sedang memakaikan kasut untuknya. Mereka masih berada di laman rumah pada ketika itu. Belum sempat Aiman terus melangkah, dia terdengar baris-baris ayat yang terpacul keluar daripada ayahnya itu. Kecil hatinya. Tapi apakan daya. Dia terima hakikat itu. Benar kata ayah, aku ni lembab! Tak berguna! Air matanya menitis lagi, kali ni lebih deras.

Kehidupan mereka sekeluarga sememangnya daif. Ayahnya hanya bekerja di Kilang Simen milik Tuan Rasyid, kenalan ayahnya. Abangnya, Hakimi masih lagi menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi. Walaupun abangnya itu mempunyai kelebihan dikurniakan akal yang bijak, dia hanya dengan dunianya sahaja. Dia langsung tidak mengambil berat terhadap hal yang melibatkan keluarga. Apatah lagi untuk menjaga adik perempuannya yang terencat itu. Hakimi sendiri malu mengakui mempunyai adik yang cacat sebegitu. Bukan itu sahaja, apabila berada di rumah ketika cuti semester, dia langsung tidak mahu membantu untuk meringankan beban keluarga. Dia hanya tahu melepak bersama kawan-kawan dan tidur sahaja di rumah. Lain benar sifatnya dengan adik lelakinya, Aiman. Aiman seorang anak yang patuh pada keluarga. Malah, dia rajin menolong emak dan ayahnya pada masa lapang. Cuma dia ditakdirkan kurang cerdas berbanding dengan abangnya. Hendak dikatakan tidak mengulangkaji pelajaran, dia selalu sahaja membuat latihan apabila ada waktu lapang. Mungkin takdirnya! Tidak semua perkara dapat dikecapi walaupun kita berusaha mendapatkannya. Jika itu sudah suratan buatnya, dia akur. Pasrah!

Di rumah, Aiman rapat dengan neneknya iaitu mak kepada Pak Kadir. Nek Timah selalu menemani Aiman, teman untuk berbual-bual dan tempatnya untuk bermanja. Mak Jijah dan Pak Kadir tidak begitu memanjakan Aiman. Kadang-kala Aiman terasa terasing dalam dunianya sendiri. Mujur ada nenek dan Ayu! Peneman aku di kala sunyi! Gerutunya seorang diri. Abang Kimi? Huh, dia hanya tahu bermain dengan telefon bimbit yang baru dibelinya itu. Tit Tit…mesej masuk! Mak Jijah berbuih-buih mulutnya menyuruh Hakimi ke kedai membeli barang dapur. Haram dia pergi! Alih-alih, Aiman yang baru darjah enam itu juga yang pergi. Aduh! Apa nak jadi dengan anak aku ni? Hati Mak Jijah memendam rasa. Dugaan…dugaan! Ayu? Uwek…wek…yeaa…uuu…yek. Itu sahaja yang terkeluar dari mulutnya! Sepatah perkataan pun tak tahu cakap! Mak ke, ayah ke…haram! Tak boleh sebut langsung! Pak Kadir termanggu sendirian. Kimi, Ayu, Aiman! Bila kamu nak menyenangkan aku?! Hati Kadir memberontak. Fikirannya melayang seketika. Kini dia mula memikirkan keadaan maknya yang sedang terlantar sakit di rumah. Kakinya dah macam hendak dimakan ulat! Luka yang agak teruk kerana mengidap penyakit kencing manis tahap serius. Hendak di hantar ke hospital, dia tidak mampu membiayai kos perubatan emaknya itu. Dia mengeluh lagi! Terasa ingin meraung sekuat hatinya! Arghhhhhh!!!!

“Biar saja saya yang kerja pulak!”suara Mak Jijah kian meninggi seolah-olah mencabar suaminya pula.

“Awak jangan nak merepek! Sudah, abang lapar! Nak makan!”bentak Pak Kadir. Dia lantas meraba-raba rokok di dalam kotak kecilnya itu.

“Abang ni dah hilang akal, apa!”Mak Jijah melawan. Dia merampas kotak rokok yang dipegang suaminya lalu dilontar jauh ke luar rumah.

“Eh, apa yang awak tak puas hati ni Jijah? Abang dah bosan tahu!”tengking Pak Kadir. Angin satu badan dibuatnya! Bini aku ni bukan nak meredakan aku, malah menaikkan api kemarahan aku saja! Hatinya berbisik.

“Daripada abang habis duit beli rokok, baik abang simpan saja duit tu untuk mak abang yang menyusahkan tu! Saya dah penat tahu! Penat layan karenah mak abang tu!”bebel Mak Jijah tidak puas hati. Hubungannya dengan mertuanya itu tidak pernah erat. Ada saja yang tak kena. Hanya Aiman saja yang selalu melayan Nek Timah. Baik memberinya makan mahupun memimpinnya ke bilik air apabila neneknya hendak buang air kecil atau besar.

“Awak jangan bagi saya hilang sabar, Jijah! Aiman tak merungut, awak yang lebih-lebih tu kenapa? Tak payah awak sibuk-sibuk nak kerja, saya ketua keluarga. Pandai-pandailah saya cari duit!”suara Pak Kadir semakin meninggi bersama dengan egonya itu. Mak Jijah mencebik. Dia kembali ke dapur untuk memasak. Malas aku nak layan egonya! Kata Mak Jijah dalam hati.

-----------------------------------------------------------------------------------

“Aiman…aiman…nenek nak minum ni!”Nek Timah memanggil-manggil nama Aiman. Mahu sahaja Mak Jijah menutup mulut mertuanya itu. Bingit telinga aku ni! Bising betul! Bebel Mak Jijah. Dia ke dapur menuangkan air ke dalam gelas dengan tergesa-gesa. Matanya merah menahan air matanya dari terus mengalir. Dia tidak sanggup menghadapi keadaan itu lagi! Bahunya terasa terbeban dengan segala masalah. Buntu! Kaku! Kecewa! Kesal! Itu sahaja perkataan yang bermain-main dalam fikirannya sekarang. Adakah aku melawan takdir? Berdosanya aku!

Pap! Gelas kaca itu jatuh berderai di atas lantai.

“Adoi! Ada saja yang tak kena! Penat aku!”bentak Mak Jijah. Dikutipnya serpihan-serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai. Aiman yang kebetulan baru pulang terus mendapatkan emaknya.

“Biar Aiman yang buat,”dicapainya penyapu dan penyodok lalu disapunya serpihan kaca itu perlahan-lahan. Mak Jijah membiarkan Aiman membantunya.

“Air…air…mana air ni, Aiman!”Nek Timah memanggil lagi. Kali ni suaranya lebih kuat. Mak Jijah mengetap bibir. Aiman hanya memerhati.

“Tunggu jap ye nek. Nanti Aiman ambilkan,”jerit Aiman supaya neneknya dapat dengar dengan jelas memandangkan neneknya juga mengalami masalah pendengaran.

“Aiman, terus je menyapu tu. Biar mak saja yang melayannya,”ujar Mak Jijah sambil menuangkan air ke dalam gelas yang lain pula. Kemudian, dia bingkas menuju ke bilik Nek Timah.

“Nah, lain kali jangan memekak macam tu! Jah bukan pekak macam mak!”jerkah Mak Jijah selamba. Sudah biasa dia berkelakuan begitu, sejak Nek Timah mula terlantar sakit. Perangai orang tua ni makin menjadi-jadi! Bebel Mak Jijah lagi.

“Jah, mak teringin nak makan kuih koci. Teringin sangat! Boleh tak Jah belikan untuk mak,”pinta Nek Timah lagi. Buang Tabiat ke apa orang tua ni? Sakit kencing manis dah tahap kritikal lagi mahu makan kuih koci yang manis tu! Melampau sungguh! Rungut Mak Jijah dalam hati.

“Mak, janganlah menyusahkan saya lagi! Kaki mak tu dah nak berulat tahu! Nanti kena potong baru tahu. Eeee…ngeri! Paham tak?”ujar Mak Jijah sambil meletakkan gelas yang berisi air itu di atas meja berdekatan Nek Timah.

“Mak nak sikit je, secubit pun jadilah,”rayu Nek Timah.

“Tak boleh!”tegas Mak Jijah lalu melangkah keluar dari bilik itu. Aiman merenung emaknya yang ‘angin semacam itu’. Nek Timah terdiam. Dia tidak meminta-minta lagi. Dicapainya gelas yang berisi air itu lalu diminum perlahan-lahan.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Hakimi tersedar daripada tidur. Cuti-cuti duduk kat rumah pun tak tenang! Bising! Baik aku tak payah balik! Gerutunya dalam hati. Hakimi bangun dari tidur agak lewat hampir pukul 1 tengahari, bangun-bangun saja terus ke dapur mencari makanan untuk dimakan.

“Mak, nasi mana? Orang lapar ni,”rungut Hakimi.

“Kau tu, bangun-bangun tidur terus melantak. Tak reti-reti bangun awal sikit tolong mak kat dapur ke, pergi tolong ayah kau kat kilang tu ke. Dapat juga duit poket cuti-cuti ni,”bebel Mak Jijah.

“Mak, Kimi dah la penat belajar. Masa ni lah Kimi nak berehat, tenangkan otak. Alih-alih, kusut fikiran Kimi ni bila balik sini!”balas Hakimi acuh tak acuh.

“Apa-apa aja lah kau tu. Mak ada banyak benda nak fikir, bukan pasal kau sorang je tahu!”Mak Jijah terus berlalu meninggalkan Hakimi terpinga-pinga.

Aiman menggeleng-gelengkan kepala. Abangnya ni memang dah tahap melampau. Mengada-ngada sungguh! Aiman kemudiannya mendapatkan Ayu yang sedang duduk di atas lantai berhampiran ruang tamu yang sempit itu.

“Ayu, nak makan? Nanti abang Aiman suapkan,”tanya Aiman sambil mengusap-usap rambut adiknya itu.

“Wek…yeaa…uuuu…aaaa,”balas Ayu. Kepala Ayu terangguk-angguk tanda mahu namun dia tidak mampu untuk berkata-kata.. Aiman faham bahasa adiknya itu, memandangkan dia seorang sahaja yang rajin melayan adiknya itu.

“Huh! Aiman, Aiman…kau ni dahlah sengal. Apa yang kau faham apa si Ayu tu nak?”perli Hakimi. Dia tersengih-sengih macam kerang busuk sahaja. Harap muka saja kacak, perangai mengalahkan jin bertendang!

“Sudahlah, abang Kimi. Sengal-sengal Aiman ni, ada hati dan perasaan. Bukan macam abang, harapkan ada otak, akal tak ada,”balas Aiman. Geram rasanya mendengar sindiran Hakimi. Aiman biasanya hanya menurut, tidak pernah melawan. Tetapi kali ni, dia sudah hilang sabar.

“Hei, budak kecik! Kau jangan nak mengajar aku pula. Kecik-kecik dah nak mampus, bila besar menyusahkan orang,”hendik Hakimi sesuka hatinya.

“Cukup!”Pak Kadir tiba-tiba muncul. Mukanya merah menahan marah. Ada sesuatu yang lebih membangkitkan kemarahannya.

Pang!

Satu tamparan hinggap ke pipi Hakimi. Berdarah bibirnya. Tersentak Aiman melihat abangnya ditampar dengan sebegitu kuat. Jantungnya berdegup dengan kencang. Apa pula tindakan ayah selepas ini?

“Ayah tak sangka, selama ni kau menipu ayah dan mak kamu tu!”suaranya bergetar. Sebak Pak Kadir ketika itu. Mak Jijah pelik. Penipuan apa pula yang dicipta Hakimi?

“Apa yang ayah cakap ni? Kimi tak faham,”Hakimi bingung. Dia tidak dapat menangkap baris ayat yang dikatakan oleh Pak Kadir.

“Kamu dah berhenti belajar, bukan? Sejak bila kamu dah pandai menipu ni,hah? Ayah dan mak tak pernah ajar! Kenapa dengan kamu ni, hah? Kau yang ayah harapkan, tapi lain jadinya!”air matanya menitis. Mak Jijah tergamam. Benarkah kata-kata suaminya itu? Air muka Hakimi tiba-tiba berubah. Bagaimana ayah tahu?

“Maafkan, Kimi…Kimi tak mampu nak teruskan. Kimi sering gagal dalam peperiksaan. Nak sambung, tak ada duit. Kimi tak nak susahkan ayah dan mak lagi!”Hakimi dihantui rasa bersalah.

Dia berlutut mencium kaki Pak Kadir. Dia benar-benar menyesal. Kemudian dia berlutut pada kaki Mak Jijah pula. Dikucup kaki Mak Jijah berkali-kali sambil meminta maaf. Mak Jijah menepuk-nepuk dahinya! Apalah nasib keluarga aku ni?

“Maafkan, Kimi!!!”air matanya turut mengalir. Ayu hanya memerhati. Dia masih tidak mengerti tentang kehidupan.

“Maa…maak…ayaahh…,”semua mata tertumpu kepada Ayu. Ayu boleh memanggil ayah dan juga mak? Ya Allah, akhirnya Kau kabulkan juga doaku! Detik hati Mak Jijah. Pak Kadir tersenyum penuh makna walaupun dia baru saja bersedih tadi. Nek Timah mula mengesot-esot menghampiri depan pintu bilik. Dia kuatkan semangat untuk melawan kelemahan diri disebabkan sakitnya itu.

“Aiman yang ajar Ayu bercakap mak, ayah. Selama ni, yang Aiman bawa dia keluar petang-petang tu, Aiman cuba ajar dia bercakap. Alhamdulillah, Ayu dah boleh sikit-sikit,”terkesima Pak Kadir, Mak Jijah dan Hakimi mendengarnya.

“Aiman…maafkan ayah kerana selalu mengecil-ngecilkan kebolehan kamu! Ayah silap dalam menilai kamu, maafkan ayah!”Pak Kadir memeluk erat anaknya itu. Timbul rasa kekesalan kerana selalu mengabaikan Aiman yang selama ini banyak berjasa kepada keluarga.

“Maafkan, mak juga. Mak sayangkan kamu Aiman! Mak sayangkan kamu!” air mata Mak Jijah mengalir. Aiman dan Ayu dipeluknya erat. Dirinya benar-benar menyesal. Aku selalu mengabaikan tanggungjawab aku selama ni. Ya Allah! Maafkan aku! Hakimi turut memeluk adiknya itu. Sudah timbul rasa kasih dalam dirinya. Penyesalannya mula menghimpit diri kerana mengabaikan peranannya sebagai abang dan anak lelaki dalam keluarga!

“Jah…,”Nek Timah memanggil dengan suara yang lemah. Mak Jijah terkejut melihat Nek Timah sudah berada di depan pintu bilik.

“Mak, macam mana boleh jadi macam ni?”dipapah Nek Timah kembali ke katil.

“Mak nak ke dapur. Mak nak cuba bangun sendiri tapi tak mampu,nak!”ujar Nek Timah bersungguh-sungguh. Mak Jijah terpana. Hakimi dan Pak Kadir cepat-cepat membantu. Aiman pula membawa Ayu ke tandas kerana adiknya itu hendak membuang air besar.

“Maafkan Jah, mak! Selama ni Jah selalu berkasar dengan mak. Jah mintak maaf sangat-sangat!”wajah Nek Timah dikucupnya berkali-kali sambil tangan mentuanya itu digenggam erat. Rasa keinsafan mula menular ke segenap tubuhnya. Dia dapat rasakan sinar kebahagian kian menerpa ke dalam hidupnya setelah sekian lama.

“Mak dah lama maafkan kamu, Jah!”balas Nek Timah. Dia tersenyum kecil. Tangannya cuba menyatukan tangan Pak Kadir dan Mak Jijah. Mata Mak Jijah dan Pak Kadir saling berpandangan. Rasa kasih kembali bertaut. Kalau itu sudah suratan, aku terima seadanya! Bisik hati kecil Mak Jijah.


p/s: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): `Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Al-Baqara :: 286

1 comments :

  1. Unknown said...

    ko x rase perubahan yg tersgt drastik ke kt ending cerpen ni..